Followers

Friday, July 2, 2010

Kedua

Selepas ucapan pembukaan, Pengurus Sumber Manusia menyambung ucapan, "Pada hari ini, pihak kilang menerima 3 orang staf baru yang akan menyertai kita. 2 orang akan bertugas sebagai Jurutera di Jabatan Kualiti dan seorang lagi akan bertugas sebagai Pembantu Pengurus di Jabatan Sumber Manusia."

Anis menyiku Amira,"Eh, mamat tu satu department dengan kau la Amira. Bestnya!"

"Takpelah. Nanti aku kenenkan mamat tu dengan kau ye?" Amira mengusik Anis.

"Kau gila? Mana nak letak abang Joe aku tu?" Anis merujuk kepada tunangnya sambil memuncungkan bibirnya. Mereka baru 4 bulan bertunang dan bakal naik pelamin hujung tahun hadapan. Joe bekerja di woksyop kereta di hujung kampung mereka dan mengenali Anis sejak di bangku sekolah lagi. Joe berusia 2 tahun lebih tua dari Anis.


Amira terkekeh mengetawakan Anis. Anis memang mudah melatah bila ditegur dan mudah merajuk bila diusik. Keletah Anis sering membuatkan Amira gembira. Itulah satu-satunya sahabat yang paling rapat dengan Amira.


Selesai senaman ringan, staf-staf kilang berpusu masuk ke production line. Anis dan Amira mengambil hala yang berbeza. Pejabat dan makmal Jabatan Kualiti berada di tingkat atas, maka di situ lah sebahagian masa Amira di sana jika tidak ke production line untuk memeriksa kualiti produk.


Amira sengaja berjalan lambat-lambat ke pejabatnya. Rasa malas kesan dari hujung minggu yang singkat bagaikan tidak puas dinikmati. Sebaik sahaja Amira menolak pintu pejabat, kelihatan Pengurusnya berbincang dengan 2 Jurutera baru tadi. Kilang mereka baru sahaja memberhentikan seorang Jurutera Kualiti sebelum ini kerana masalah disiplin. Tak sangka pula, kali ni sampai 2 Jurutera diambil. 


Amira duduk di mejanya sambil menarik laci meja. Mencari jadual shift kerja untuk memastikan bahawa minggu itu dia tak perlu bekerja pada hari sabtu. Kilang Amira bekerja sememangnya memberikan kelonggaran kepada staf dengan bergilir-gilir bekerja pada hari Sabtu. Amira telah berjanji dengan Ibu Nur untuk membawanya ke pekan pada hari sabtu nanti. Ternyata sangkaan Amira tepat. Sabtu minggu itu dia tak perlu bekerja. Amira tersenyum melihatkan jadual shiftnya.


"Amboi. Tengok jadual pun boleh tersenyum ye cik kak?" terkejut Amira disapa oleh suara garau yang tidak pernah dia dengar sebelum ini.


Amira mendongakkan kepalanya. Terlihat olehnya 2 jejaka Jurutera memandangnya sambil tersenyum. Amira lihat, pengurusnya baru sahaja keluar dari bilik pejabat mereka menghala ke Jabatan Sumber Manusia.


"Eh eh. Dia yang nampak lebih tua dari kita, ada hati panggil kita cik kak?" Amira mengomel dalam hati.


Amira berlagak profesional dengan tidak menghiraukan teguran tadi. Lantas dia berdiri dan menghulurkan tangan untuk bersalam. "Saya Amira. Penyelia di jabatan ini."


Lelaki bertali leher hitam menyambut salam Amira. "Saya Wan Sahir. Panggil saja Wan." Dan mereka bersalaman. Amira dapat rasakan tangan lelaki itu amat lembut. Tidak seperti kebiasaan tangan lelaki yang biasa disalamnya.


Namun, apabila Amira menghulurkan tangannya kepada lelaki berkemeja biru pula, salamannya tidak bersambut. "Ustazah saya bagitau kalau sentuh bukan muhrim hukumnya berdosa. By the way, nama saya Muhammad Hairi bin Abdul Muluk. Cik kak boleh panggil saya Hairi." ujar lelaki berkemeja biru sambil tersenyum lantas memperlihatkan lesung pipit kirinya yang amat manis. 


Pipi Amira memerah dengan serta-merta. Terlalu sinis pemuda ini menegurnya. Belum pernah ada lelaki melakukannya seperti ini. Namun, Amira harus berlagak seperti biasa. Tangan dihulur tidak bersambut itu diturunkan semula. 


"Jika ada apa-apa soalan, saya ada di sini. Cuma setiap sejam sekali saya akan turun ke production line untuk memeriksa kualiti produk. Jika ingin cepat belajar, awak berdua bolehla ikut saya nanti." Amira dengan hati ikhlas ingin berkongsi ilmunya. Amira telah 3 tahun bekerja di kilang itu. Sudah pasti, setiap langkah penghasilan dan pengeluaran Amira fasih.


Kedua-dua Jurutera itu menganggukkan kepala. Cuma lelaki bernama Hairi itu sahaja yang memberi renungan yang tajam kepada Amira. Amira kurang berasa selesa. Cepat-cepat Amira capai buku nota, pen dan pisau lipatnya lalu dimasukkan ke dalam poket baju kilang. 


"Ok. Saya nak turun ke production line ni. Ada siapa-siapa nak ikut?" soal Amira.


Wan dengan segera mengangkat tangan, "Saya nak ikut Amira. Sekejap ye. Saya nak ambil pen dan buku."


Tetapi, Hairi hanya diam membisu sambil menelek contoh produk yang terletak pada rak peragaan. Produk-produk itu memang sengaja dipergakan di rak tersebut agar mudah dirujuk struktur dan ciri-ciri mengikut kualiti yang ditetapkan.


Amira malas nak mengajak sekiranya orang tak sudi. Amira menanti Wan di sudut tangga dan mereka beriringan turun ke production line. Amira menunjukkan satu-persatu proses yang berlaku sepanjang penghasilan produk kepada Wan. Begitu bersungguh-sungguh Wan menulis setiap perkara penting di dalam buku notanya. 


Dari Jabatan Kualiti, terdapat cermin tingkap di sekeliling bilik. Amira dapat merasakan Hairi melihatnya bersama Wan dari kejauhan. Entah mengapa, Amira dapat rasakan sesuatu dari pandangan tajam Hairi sebentar tadi. Masih terasa pantas degupan jantungnya. Amira tidak pasti, apakah perasaan yang dialaminya ketika ini. Benci, meluat atau menyampah? Amira sebolehnya mahu menolak andaian bahawa dia sudah terkena panahan cinta dari manusia yang bernama Muhammad Hairi.


"Amira, kilang ni ada cafe tak?" lamunan Amira terhenti apabila disapa Wan.


"Ada. Masa rehat kita jam 10.30 pagi selama 15 minit, jam 1 petang selama 45 minit dan jam 3 petang selama 15 minit. Nanti saya tunjukkan lokasi cafe. Tapi kecil sahaja. Dan pilihan makanan taklah banyak mana. Ramai yang lebih senang bawa bekal sendiri atau keluar ke kedai makan." Amira menerangkan dengan panjang lebar. 


Wan menganggukkan kepala tanda faham. Mereka berjalan beriringan ke cafe.


"Dah nak jam 10 pagi ni Amira. bolehla kita minum-minum sebentar." Wan mengajak.


Sambil memandang jam tangannya, Amira mengangguk setuju. Sedang berjalan, tiba-tiba...


"Korang nak pi mana ni? Kalau nak pergi makan, kenapa tak bagitau?" Kedengaran suara yang tak diundang. Amira mendiamkan diri sahaja.


"Tadi orang ajak tengok production line tak nak. Tapi nak diajak makan pula. Menyibuk betul!" Amira mengomel kegeraman di dalam hati. Malas nak dilayan mamat ni.


Hairi tersenyum apabila meihatkan wajah Amira yang menahan geram. Baginya, wajah Amira memberi seribu ketenangan tatkala pertama kali dia melabuhkan pandangan ke wajah itu di perhimpunan tadi. Entah mengapa, dalam beratus2 muka di hadapannya, wajah Amira yang menarik pandangannya.






*end of Kedua. Ketiga bakal menyusul minggu hadapan.*

5 comments:

  1. ala kak,,,,cpt r....cm best lak citer ni,,,,

    akk karang sendirik ker kak,,,,

    ReplyDelete
  2. amira..oh amira....ulat bulu baru nak buat regangan urat..ececcee

    ReplyDelete
  3. wahh..k.intan.mesti baby dlm perut tu kreatif dan rajin menulis nti.hehe

    ReplyDelete
  4. salam intan,

    novel u menarik, keep on writing.. i tunggu next episode :)

    thee hee, take care!

    ReplyDelete

Jemput2! Makan jemput2 meh!

nuff

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...